Featured on Berita Harian

 

Ketika Singapura menelusuri jejak 60 tahun pembangunannya, satu perbincangan penting kian menyerlah iaitu bagaimana kita menjaga kesejahteraan penduduk yang semakin menua. 

Menjelang 2030, seorang daripada empat rakyat Singapura dijangka berusia lebih 65 tahun. 

Dalam konteks ini, isu sakit kronik kini menjadi kebimbangan kesihatan awam yang semakin mendesak, menjejas keupayaan bergerak, berdikari, dan kesihatan emosi warga emas. 

Namun, kumpulan perubatan tempatan, Singapore Paincare, menepis dakwaan bahawa kesakitan adalah sebahagian daripada proses lumrah penuaan. 

Dengan pendekatan holistik, rawatan invasif minimum, dan kadar kejayaan 90 peratus hanya selepas satu sesi, mereka mendakwa sebaliknya dan mentakrifkan semula erti menua dengan sihat. 

Satu kenyataan media Singapore Paincare bertarikh 16 Julai menarik perhatian bahawa daripada lebih 3,000 pesakit yang mendapatkan rawatan di pusat rawatan itu antara 2020 dengan 2024, sebanyak 60 peratus berusia antara 50 dengan 79 tahun. 

Kebanyakan mereka menderita sakit belakang, leher, bahu, lutut, dan fibromyalgia – keadaan jangka panjang melibatkan rasa sakit badan yang meluas. 

Kesakitan berlaku seiring keletihan. Ia juga boleh melibatkan masalah tidur, ingatan dan mood. 

Penyelidik berpendapat fibromyalgia menjejas cara otak dan saraf tulang belang memproses isyarat sama ada ia menimbulkan rasa sakit atau tidak. 

Ramai dalam kalangan mereka sudah bertahun-tahun menanggung derita, dan percaya kesakitan itu adalah ‘biasa’ dalam proses penuaan. 

Namun data menunjukkan sebaliknya – hampir 90 peratus daripada mereka mendakwa meraih kelegaan selepas satu rawatan menggunakan teknik seperti suntikan Myospan dan prosedur Neurospan. 

Skor kesakitan pesakit, diukur pada skala 10, dan ia menurun secara drastik daripada lapan ke dua bagi Myospan, dan daripada sembilan ke dua bagi Neurospan. 

Pendekatan Mesra Pesakit 

Strategi rawatan Singapore Paincare ialah kaedah diagnostik Painostic®, yang memetakan laluan kesakitan untuk mengenal pasti punca sebenar, bukan sekadar merawat gejala. 

Ditubuhkan pada 2007 dan disenaraikan di Bursa Singapura (SGX) pada 2020, Singapore Paincare mengkhususkan dalam rawatan dan pengurusan kesakitan kronik dan akut. 

Rawatan yang disesuaikan itu memberi tumpuan kepada penyelesaian tepat, dengan gangguan minimum kepada rutin harian pesakit. 

Rawatan itu turut disokong fisioterapi, terapi tingkah laku kognitif (CBT), sokongan farmakologi, dan pemulihan fungsi – semuanya ditawarkan di bawah satu bumbung bagi memastikan kesinambungan rawatan yang lancar. 

Kisah Pesakit 

Seorang pesakit yang dikenali sebagai ‘Cik Chooi’, berusia lewat 80-an tahun, sebelum ini sukar berdiri atau tidur akibat sakit belakang yang menjalar ke kaki, kongsi kenyataan itu. 

Selepas satu prosedur invasif minimum, diikuti fisioterapi dan rawatan Perubatan Tradisional Cina (TCM), beliau kini kembali aktif tanpa rasa sakit. 

Seorang lagi pesakit, ‘Cik Ng’, seorang guru prasekolah veteran, mengalami sakit kronik di leher, bahu, dan kepala. 

Beliau mengambil terlalu banyak Paracetamol sehingga mengalami kembung perut dan hilang selera makan. 

Selepas didiagnosis serta menjalani satu prosedur ringkas, Cik Ng kini dikatakan kembali ceria dan bertenaga. 

Bawa Rawatan Lebih Dekat kepada Masyarakat 

Pasca penjenamaan semula pada Jun, Singapore Paincare giat memperluas rangkaian klinik seperti DR+ Medical dan Paincare Clinics ke kawasan kejiranan. 

Para doktor am yang dilatih dalam kaedah Painostic® kini boleh memberikan rawatan khusus yang pantas dan berkesan, tanpa perlu menunggu atau bergantung kepada ubat tahan sakit jangka panjang. 

Pendekatan integratif turut dilengkapkan dengan program Singapore Paincare TCM Wellness, yang diketuai oleh Dr Bernard Lee, seorang doktor yang turut terlatih dalam bidang akupunktur. 

Gabungan pendekatan Barat dan Timur itu bertujuan mencapai keseimbangan dalaman (yin) dan pemulihan luaran (yang), demi menyokong kesembuhan jangka panjang, tambah kenyataan itu. 

Meniti Usia dengan Harapan Baru 

Dengan jangka hayat semakin panjang, keupayaan untuk hidup tanpa kesakitan adalah mutu hidup yang amat dihargai. 

Melalui rawatan awal yang betul, kehidupan aktif dan bermakna masih boleh dikecapi. 

Sebagaimana kata Pengasas dan CEO Singapore Paincare, Dr Lee: “Tiada siapa perlu menderita dalam senyap.”